Wednesday, January 22, 2014

Mengapakah saya rasa pening semasa hamil?



Sebab mengapa anda berasa pening bergantung kepada usia kehamilan anda. Pada awal trimester pertama, anda mungkin rasa pening dan loya kerana tekanan darah yang rendah. Ini berlaku kerana hormon kehamilan iaitu progesteron merehatkan dinding salur darah anda, menyebabkan tekanan darah anda menurun. Ini boleh menyebabkan anda berasa pening dari seawal minggu kelapan. Tetapi ingat bahawa pening adalah ciri-ciri biasa kehamilan. Di antara setengah hingga tiga perempat daripada wanita hamil akan merasa pening.

Dalam trimester kedua dan ketiga, rahim anda yang sedang membesar berkemungkinan menekan saluran darah. Ini juga boleh menyebabkan anda berasa pening. Sebab-sebab lain mengapa anda mungkin berasa pening termasuk:
Jika anda berdiri terlalu cepat, darah mungkin tidak mempunyai cukup masa untuk sampai ke otak. Ini dipanggil hipotensi postural.
Jika anda berbaring terlalu lama. Kira-kira satu dalam 10 wanita hamil mengalaminya disebabkan oleh tekanan darah.
Jika anda belum makan dan gula dalam darah rendah, terutamanya pada lewat petang.
Jika anda kekurangan zat besi dalam darah (anemia).
Jika anda terlampau panas.

Apakah yang boleh saya buat untuk menghilangkan rasa pening?

Ini bergantung kepada apa yang menyebabkan anda berasa pening, tetapi langkah pertama yang terbaik ialah duduk. Ini bukan sahaja membantu menghentikan pening, tetapi anda dapat mengelak daripada terjatuh.

Bergerak dengan lebih perlahan turut membantu. Contohnya, cuba bangun perlahan-lahan berbanding bangun dengan tiba-tiba daripada kerusi atau katil.

Jika anda berasa pening semasa berbaring, mengiringlah ke sebelah kiri kerana ini akan membantu jantung anda mengepam darah ke seluruh badan dengan lebih mudah.

Ini mungkin juga satu cara badan anda memberitahu bahawa anda memerlukan penambahan tenaga. Jika anda belum makan dalam masa satu atau dua jam, snek ringkas dan cepat dapat menaikkan tahap gula dalam darah anda. Dan pastikan anda tidak terdehidrasi. Minumlah air atau jus buah.


Dalam kes-kes tertentu, anda tidak dapat berbuat apa-apa kecuali duduk atau baring mengiring dan tunggu sahaja ia berlalu. Masalah pening yang datang dan pergi ini boleh berlaku pada bila-bila masa sepanjang kehamilan.

No comments:

Post a Comment