Friday, September 5, 2014

muhammad aniq aisy

Nama yang indah... Pemilik nama yang istimewa.. Terlalu dekat di hati dan terlalu dicintai.





Permata sulung sahabatku kak Azlinda.... Aniq dilahirkan istimewa. Tidak dijangka oleh ibu... abah... Dan juga tidak dikesan keistimewaan itu sepanjang 9 bulan dalam kandungan ibu. Kedua belah tangan tidak terbentuk sempurna... Aniq juga mempunyai pelbagai komplikasi lain yang kronik. Hari pertama sahaja sudah ditebuk perutnya kerana saluran najisnya tiada. Tiada susu ibu disuakan di mulut kecil itu kerana saluran makannya tidak bersambung ke usus... Susu diberikan selepas 2 minggu melalui satu lubang pada perut. Dan leher pula ditebuk untuk mengeluarkan air liur. Jantungnya juga dikatakan berlubang.

Hanya berhubung dengan whatsapp. Aku menerima kiriman gambar dari kaklin yang cukup meruntun hati. Allahu Akbar... Allah menguji kak... Tabah lah.

Muhammad Aniq Aisy selepas pembedahan pertama.


Susuk tubuh kecil yang lahir dengan berat 1.68kg itu dipenuhi wayar dan jarum. Dia kuat... Berjuang dalam setiap nafas.... Kadangkala menangis bila terbau kehadiran ibu.

Dia belum mengerti apa-apa...


Muhammad Aniq Aisy.... Yang membuatkan aku kuat sewaktu dalam kesakitan. Aku sentiasa membayangkan tubuhnya yang menanggung lebih banyak beban sedangkan dia tidak jua berdaya untuk mengeluh dan meraung kesakitan.

Melihat anakku Ammar Zafran aku terkenangkan Aniq. Umur yang hanya berbeza sebulan. Ku doakan kau sejahtera dan dirahmati. Semoga Allah meningkatkan darjat dan keimanan ibu dan abah dalam menghadapi dugaan ini.

Wednesday, September 3, 2014

menyusu bayi pertama kali

Antara perkara yang dirisaukan para ibu yang pertama melahirkan anak pastinya berkenaan susu badan. Saya mulanya ragu-ragu juga. Sepanjang mengandung beberapa kali cuba untuk keluarkan susu badan. Saya cuba picit, beli pam elektrik dan cuba pam. Cubaan dengan pam elektrik kali pertama waktu kandungan 8 bulan... Ada cecair jernih yang sedikit melekit. Saya cuba mencari info... Hasil pembacaan katanya ibu akan menghasilkan susu yang dinamakan kolostrum pada awal kelahiran bayi. Susu ini hanya dalam jumlah sedikit dan sangat penting kerana mengandungi zat yang sangat tinggi. Saya pun berhenti dari memicit susu.. Kang abis lak kolostrum kesian baby.

Kunci kejayaan penyusuan susu badan secara eksklusif ialah dengan berfikiran positif. Fikir bahawa kita akan menyusukan bayi. Tiada makanan lain untuk bayi hanya susu badan sahaja. Walaupun tiada susu pada saat bayi baru lahir teruskan memberi kepada bayi. Ransangan hisapan mulut bayi lebih baik dari pam elektrik. Lama kelamaan keluarlah susu tu... Tenangkan fikiran dan jangan panik.

Sebaik sahaja uri dikeluarkan badan akan cuba menghasilkan susu badan. Pengalaman saya sendiri... Setelah bayi dibersihkan dan diazankan saya diarahkan nurse untuk terus menyusukan bayi. Walaupun penat dan kekok pada awalnya. Saya tak pasti waktu tu susu ada atau tidak namun bayi saya menyusu setengah jam tanpa henti. Dan beberapa kali selepas itu saya cuba lagi menyusukannya.

5 jam selepas itu bayi berak.. Najis hitam yang tidak berbau. Nama saintifiknya meconium. Itu ialah najis pertama hasil makanannya dalam perut ibu. Saat tu saya yakin saya berjaya hasilkan susu kerana kolostrum lah yang meransang pembuangan meconium.

Kenapa saya tak nampak susu keluar? Bayi cukup kenyang ke? Pedulikan persoalan tu. Perut bayi yang baru lahir sebesar guli je. Satu sudu susu pun dah cukup banyak dah... Jangan gatal nak bagi susu formula.

Hasil perahan pertama susu badan saya dapat 1oz... Hari ketiga dapat 2oz... Makin lama makin banyak. Jaga pemakanan.. Banyakkan minum air. Allah buat yang terbaik dan dia yang bagi rezeki pada anak. Yakin lah pada Allah.
Hasil pertama 1oz.. Huuu... Teruja nampak susu kuar. Dapat sebanyak ni pun baby isap trus lelap. Kenyang dah....


Hari ke 9 baru saya mula berurut dan bertungku. Susu badan banyak sampai lencun baju. Alhamdulillah.

Tuesday, September 2, 2014

kisah bersalin sulung (part 3) finale

khamis 21 ogos 2014
Hari ni jangkaan tarikh bersalin yang tertera di buku pink. Pukul 8 pagi cam biasa para doktor ronda-ronda wad. Pakar O&G doktor akim (bukan nama sebenar) yang pada mulanya sangat saya suka sebab ensem... tapi pada hari tersebut saya rasa menyammmmmpah sangat. Rasa cam nak sumbat selipar je kat mulut dia. Disebabkan saya terlampau stress terkurung dalam wad.

"Yana ada kat sini lagi ye... hmmm... takde katil kosong lagi kat labour room... kita try tengok lagi ye pagi ni. Lama dah awak kat sini.. kesian..."

Sentap jiwa dengar "kesian~" tuh. Bila je geng-geng doktor tu blah saya pusing badan. Nangis... memang haru punya nangis. Sesambil whatsapp abang. Abang dah kerja ari tu.. ye lah dah banyak ari dia teman di hospital... Saya mengadu pada abang.. nak lari dari wad tu. Nak pegi kat hospital swasta.. nak cepat-cepat bersalin. Sakit ati dan segan duk sampai seminggu dalam wad tahanan tu.... saya yang paling veteran kiranya...

Tengah menangis dan hingus penuh di hidung... terdengar akak misi panggil

Liyana... siap-siap ye.... gerak ke labour room kejap lagi.

HAH!!! betul ke ape aku dengar ni?? dah sampai masanya! Apa lagi sepantas kilat saya call abang, kemas barang.. yang mana sepah dalam laci saya sumbat dalam plastik je. Gi mandi kasi wangiiii... langkah penuh bergaya ke labour room.. ceyyyy (saje tokok tambah citer)



Disebabkan saya request epidural... saya pun kena la masuk bilik tu. Rupanya pesakit dengan epidural akan duk dalam bilik khas.. dari awal sampai lah teran anak.. kena duk situ.

Epidural? Apa tu?

Sebelum ni banyak dengar cerita seram tentang epidural... ye lah.. teknik bius kat tulang belakang.
Disebabkan ada sorang kawan baru je bersalin dengan kaedah ni saya beranikan diri untuk mencuba memandangkan saya akan melalui induce yang lama dan menyakitkan. Terpaksa induce kerana saya masih tidak mengalami contraction dan bukaan baru 3 cm. Ibu hanya dibenarkan teran baby bila bukaan 10cm.

Saya dibius oleh seorang doktor india yang sangat comel dan sopan percakapannya. Saya disarungkan baju biru yang terbuka sikit di belakang.. bra kena lah buka yer... disuruh peluk bantal dan bongkokkan sikit badan. Ada menggigil skit sebab takots sangat kan. Doktor spray cecair yang agak sejuk.. betul-betul kat tulang belakang. perghhh... berdiri bulu roma. Kat situ kalo orang sentuh pun rasa geli. Doktor bagitau setiap step yang dia akan buat. Masa inject terkumat-kamit saya berdoa... ada rasa cam letrik mengalir je once cecair epidural tu terjah kat saraf. Aik.. cepat je. Takde lah seram macam yang dibayangkan! Bukanlah cucuk sampai kena tulang tapi selaput spine aje.

Ada wayar halus di tempat dicucuk tu bersambung ke mesin epidural. Kata doktor dos epidural tu boleh dilaraskan... kalau sakit sangat doktor akan cuba tambah dos.. tapi tengok keadaan lah.. tak boleh suka hati jugak.

nampak tak wayar halus tuh... haaa.. epidural lah tu.... pic from hp abang

saya col suh abang masuk cecepat.. sarungkan stokin.. tak tahan sejuk..


Nurse masukkan drip kat tangan kiri.... 2 jenis cecair sumbat kat situ. Satu cecair induce.. satu lagi air yang biasa masuk kat patient tuu... sebab saya tak boleh makan apa-apa dah once masuk sini. Katanya... 7-8 jam saya akan terperap... tunggu induce tu buka jalan sampai 10cm.

Doktor buat ARM.. pecahkan air ketuban... dari masa ke semasa dia "cek jalan" kata omputehnya VE. Disebabkan epidural saya dah tak rasa apa-apa masa VE. Ditemankan suami tercinta... kami harungi hari yang panjang itu bersama...  waktu mula induce pukul 9 pagi.

Contraction bermula

Pukul 3 petang... bukaan 5 cm.

Pukul 6 petang... bukaan masih 5 cm!!doktor pun terkejut bila bukaan takde progress ingatkan dah boleh mula teran dah...  masa ni komplikasi mula jadi. Saya mula rasa contraction yang sangat-sangat sakit. Mata saya tertutup rapat. Badan saya menggigil sejuk yang teramat! Saya tak dapat rasa kaki dan tangan.. terlalu sejuk...macam beku. Abang dah mula panik. Doktor tambah dos epidural. Saya tak mampu bercakap. Tapi saya sedar dan dengar semua. Apa yang dinamakan contraction itu mula saya 'nikmati'. Betullah cara induce ini menyakitkan. Bukanlah maksudnya bersalin normal tak sakit. Induce tak membenarkan saya berehat dari sakit. Baru je 2 kali tarik nafas sakitnya datang... tarik nafas.... sakit datang... sakitnya bagaimana? yang dikatakan ibarat 20 tulang dipatahkan serentak... dan begitu lah azab yang saya lalui dari pukul 6 petang sehingga jam 11.30 malam!

Epidural sudah tidak mampu menahan kesakitan tahap tertinggi tu. Adoii lah.... tapi tanpa epidural saya akan menderita sakit dari pagi lagi.. kira ok lah kan. errr...

Saya sempat bersuara perlahan... dalam suara terketar-ketar mintak maaf dengan abang. Ingat malam tu dah sampai dah ajal.

The baby is coming!!

Bukaan dah capai 10cm pada tengah malam dan saya sudah separa sedar langsung tak bertenaga. Doktor suh teran saya teran cam nak kencing je. Masa tu saya redha kalau doktor nak bedah. Saya cakap.. saya tak larat.. tak boleh ke forcep atau vakum (terpengaruh ngan citer 3 idiots sebenarnya). Doktor cakap.. saya akan ambil forcep jap lagi tapi muka baby akan cedera lah. What???? No way... ok.. mama teran kuat-kuat kayyy.. takmau anak mama cedera. Abang setia di sisi bagi sokongan moral.. usap kepala... baca doa... doktor mula penuh di kiri kanan..

Tepat pukul 12.15 pagi... hari jumaat 22 ogos.. putera sulung mama Ammar Zafran dilahirkan. Doktor tarik trus letak atas perut. Abang cium dahi.. saya nangis... tanya abang... tengok anak!! tangan! kaki! cukup tak sume jari?? Abang kata sume ok. Tetiba doktor plak cakap.

Baby flat! Biru.. bawak ke bilik sana cepat! 

Rupa-rupanya baby lemas sebab lama sangat teran. Baby kuar diam je. Saya makin kuat menangis.. tapi doktor cakap semua ok. Abang pujuk.. pegang tangan... sambil doktor proceed jahit apa yang patut. Masa jahit tak sakit kerana kesan epidural. Lama gak jahit tapi saya tak tanya apa-apa... tak cakap apa-apa... risaukan anak...

Lepas setengah jam... nurse bawak baby.. Ya Allah.... comel.... abang terkulat-kulat tak reti pegang.. nurse suh azankan. Kemudian letak di sisi saya.... saya susukan untuk kali pertama.

assalamualaikum.... ammar zafran


after all.... saya tak rasa serik pun untuk bersalin lagi. Subhanallah.... indah.

Tuesday, August 26, 2014

kisah bersalin sulung (part 2)

sabtu- 16 ogos 2014
pukul 10 bergerak ke kubang kerian...  sebelum serah diri ke wad... pusing-pusing dulu dalam mydin. Capai sikit-sikit barang untuk kegunaan dalam wad. Konon nak abiskan 2 jam dalam mydin.. heh.. cakap besar je. Setengah jam jalan semput kut. Mata meliar cari kusi je... Kejap-kejap nak duduk. Abang jalan laju je... selalu tinggalkan mak buyung (sebenarnya saya yang lemah gemalai jalan).

Then... register nama di kaunter kecemasan HUSM. Ari sabtu kaunter pendaftaran yang biasa tidak dibuka. Bergerak ke wad 2 Akik. Ooo.... aircond.. best.... apesal tak ramai ni? Rupa-rupanya ni wad khas untuk golongan yang ada kes- GDM, hypertension, jantung, kembar dll. Wad ni tak benarkan peneman berada di sisi kecuali waktu melawat sahaja iaitu kul12-1 tengahari, dan kul 5-7 petang. Jadi abang hanya menanti di bilik menunggu (lelaki) dengan pas khas. Jenguk saya waktu melawat sahaja.

Malam pertama di HUSM sekali lagi scan baby...amik darah...  merasa kali pertama apa yang dikatakan "seluk" yang menakutkan tu. Seluk atau vaginal examination (VE) adalah igauan ngeri bakal ibu di hospital. Hehhe... terkenang....

alat CTG... tengok heartbeat baby dan kadar contraction




the kuning ward



ahad- 17 ogos 2014
pukul 8 pagi VE dilakukan dan doktor mula induce dengan ubat jenis pil. Menangis time VE sebab memang dilakukan sedikit kasar untuk ransang bukaan. Tengok glove doktor penuh darah aiiii.... seriau mak. Ransangan bukaan tu buatkan saya merasa sedikit contraction dan jugak terkepit-kepit berjalan ulang alik toilet. CTG dilakukan lepas sejam induce tengok bacaan contraction. Abang datang kul 1 waktu melawat saya berpeluh satu badan. Tahan sakit. Hasil induce dengan pil tu... bukaan 2cm pada kul8 jadi 3cm pada pukul 2. Hek eleh... 1cm je??? sakit kemain. Darah keluar berketul-ketul dari pagi hingga malam...

Masuk waktu maghrib sakitnya hilang. Dapat tidur malam dengan best sekali. Prosedur ARM untuk bersalin belum dapat dilakukan kerana keadaan saya belum bersedia.



isnin-18 ogos 2014
pagi bermula dengan VE lagi. Adalah sedikiiiit kurang sakit berbanding sebelumnya sebab rahim sedikit lembut. CTG dan tekanan darah diambil berterusan..... dan selama saya dalam wad... saya diberi diet khas untuk masalah GDM. Tu yang sangat sedih..... tak sedap betolll.

Oh ye... disebabkan saya akan bersalin cara induce. Doktor tawarkan epidural untuk mengurangkan kesakitan.. kata orang.. induce sangat sakit. ye kerr?

Bibir sangat kering. Mengelupas teruk sebab duk dalam aircond berhari-hari. Anta pic ke whatsapp abang.. gambo barang... pesan suh beli vaseline petroleum jelly. Ok skit lepas sapu kat bibir.


kesian abang... macam-macam pesen gaya menunggu... lama amik cuti teman bini dalam wad

selasa-19 ogos 2014
Abang beli burger zinger KFC. Makan sambil nangis sebab tacing sangat.. huuuuu... sedapnya.... masih terperuk dalam penjara aircond ni.

rabu-20 ogos 2014
Muka masam. Hati sakit. Saya protes takmau VE. Sebab dah beberapa hari doktor janji nak masukkan saya dalam labour room tapi asik full aje. Baby sangat sayangkan mama.... dia memang tak mau lagi mama rasa sakit. Memang contraction tiada sejak isnin... ahad tu pun sebab induce pil.


Sunday, August 24, 2014

kisah bersalin sulung ( part 1)





rabu- 13 ogos 2014,
saya ke klinik kesihatan untuk pemeriksaan rutin (antenatal). Alhamdulillah HB darah dah mula stabil lepas saya berdisiplin dengan ubat. Namun hasil ultrasound doctor kesan air ketuban kurang.. katanya kondisi ni namanya "oligo"... haaa... sedap namanya. Kadar air ketuban yang molek ialah 8.0. Tapi bacaan saya menunjukkan 7.23... Konon saya perlu pergi segera ke hospital dengan ambulan. Tapi saya berkeras takmo lagi dengan alasan baby masih aktif. Saya yakin dan saya tawakal. Hati saya sangat kuat menentang. Doc izinkan...syarat kena gi awal pagi. orait!

khamis- 14 ogos 2014
awal pagi ke HUSM, dengan beg 1 beg baby dan 1 bag mummy. Tunggu di kaunter O & G. Agak lama juga tunggu turn. Akhirnya sampai giliran... diperiksa oleh doctor pakar lelaki... err... foreign. Abang tercengang jugak tapi pemeriksaan ultrasound je bukan pemeriksaan intim.. hihii....  Hasil dengan peralatan hospital yang canggih itu.. bacaan air ketuban ialah 6.40. Lagi kurang dari yang klinik kesan! Gulp! pucat gak masa tu. Doctor Abdullah berusaha bercakap dalam bahasa melayu walaupun saya respon in english. Respect. Katanya suh masuk wad... induce and beranak hari tu jugak... bahaya...

Kami laki bini blur... takut wei... tapi pastu doc suh cek ICG (heartbeat) baby.. tengok kalo stabil.. leh delay lagi admit ward..  CTG amik masa dalam 20 minit. Saya tertido.. sebab lama kut kat hospital. Saya penat. alhamdulillah.. baby godek2 gerak bagus. Keputusan- perlu serah diri masuk wad hari sabtu. ahad buat operasi.

jumaat- 15 ogos 2014
ke bandar... melampiaskan nafsu makan di tempat-tempat yang dikehendaki tanpa bantahan dari suami tersayang. Heaven!! juga solat hajat (berdua je). mohon dipermudah... sebab semuanya di tangan Allah.

Tuesday, August 12, 2014

kata-kata menyakitkan ati aku

pssssttt....  prooootttt pretttttt.... 

sembilan hari lagi aku bakal jadi ibu, Insya Allah.... sedaya upaya cari kekuatan ni. Fizikal dan mental.... persediaan pakaian dan kelengkapan hospital. Walaupun dah lama pack... kejap-kejap ada je benda nak tambah. Mau penuh bonet kete gi spital nanti.

Berbalik kepada topik yang nak dibicarakan... masa kat tempat keje ada la 2,3 makcik tu bukan sekali tau.... banyak kali dia cakap aku punya due lambat... zaman diorang dulu takde polisi amik cuti bersalin awal... tunggu sakit perut.. dan nazak contraction baru berlari pegi hospital.

- "ala..... seminggu lagi.... lambat lagi... rugi je amik cuti.... baik keje je... bagus banyak bergerak... senang beranak..." (sambil muka wt cebik dan toyaaaa)

Aku punya kecik ati....bukan soal bergerak yang aku pikirkan. Tau tak keje tu perlukan komitmen dan kepakaran lain, yang tak mampu aku beri tumpuan bila sarat gini. Memang korang pesen zaman muda gagah perkasa macam otromen tak abis batery... kita tak sama beb.... ngan aku ada kes GDM... cengkung muka kontrol makan. Hati risau jugak baby lahir hypo ke sebab kawalan gula ni. Ati aku skang pikir anak... anak... anak....  amik cuti bersalin awal lebih penting berbanding panjangkan cuti bersalin... masa ni la buat persiapan, rehat cukup-cukup. Ramai je rakan kerja yang lain cuti awal.. apsal aku yang kau kutuk-kutuk??

Ni aku tengah duduk bersila yang sangat kurang selesa.. perut labuh berlaga ngan paha. Kena tegakkan badan gitu.. baby cam biasa lah.. ujung-ujung ni tau mengeras je.. kejap-kejap dia nak geliat huiiii.. senak perut mama. Dah pujuk... kalau keluar cepat dapat geliat lagi best.. luas... mama leh peluk.. papa leh peluk...




Monday, August 11, 2014

tanda-tanda hampir bersalin

bila yer dia nak kuar??

Tinggal sepuluh hari lagi jangkaan hari bersalin... tapi kalau lagi cepat lagi bagus. Benda yang kita sakit dan takut biarlah cepat berlalu. Dan memang tak sabar nak tengok baby sulung ni. Setakat ni benda yang saya duk ngidam sume abang dah penuhi... emmm.. hampir semua. Cuti rehat bersalin saya request awal-awal.. kiranya seminggu awal. Tak larat dan takde mood langsung nak kerja... bawak belon besar ni kehulu kehilir. lagipun risau nak turun naik tangga kerap sangat. 

Hampir setiap hari saya google tentang hal bersalin... cuma video bersalin je tak tengok... dulu-dulu time duk blaja kat u adalah tengok gak. Start ngandung ni tak mau tengok... takut... kalau teringin sangat pun stakat tengok video perkembangan baby dalam rahim. 

Setakat ni saya mengalami sakit belakang, sakit kat bawah tuuu bila berjalan, perut nampak makin rendah keboyotannya, keputihan, kontraksi ringan tengah malam, kerap kencing, dan muntah bila makan berat. Lusa pegi klinik kesihatan..... harap sangat kesudahannya saya terus naik ambulan, pegi hospital dan terus beranak! banyak cantik.... macam la mudah..... kata orang hazabnya akan dikenang sampai hujung nyawa... 

Baby.... mama nak sangat tengok baby..... 

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~



1.Sakit Belakang-

Sakit belakang sering menjadi masalah utama wanita hamil.Dalam masa yang sama, ia juga menjadi petanda awal kelahiran.Sakit ini semakin lama semakin kerap dan kuat.Ia akan jadi lebih teruk pada bahagian bawah belakang.keadaan ini berlaku kerana bayi dalam kandungan beralih kedudukan dan menekan tulang belakang.

Sementara itu, bagi mengurangkan rasa sakit belakang yang dialami,posisikan diri anda seperti merangkak,kemudian angkat atau tinggikan badan ke atas.Lakukan sehingga kiraan lima.Ulangi cara yang sama untuk beberapa kali.Selain itu, anda juga boleh mengurangkan rasa kesakitan dengan banyak berjalan.Malah, ia juga membantu mempercepatkan proses kelahiran. Jika sukar untuk berjalan, minta suami anda urut bahagian belakang semasa anda berbaring secara mengiring.


2.Kontraksi rahim-

 Kontraksi adalah antara tanda awal dan isyarat paling penting yang menunjukkan sudah tiba masanya untuk anda bersalin.Kontraksi adalah  rasa tegang pada perut malah kadang-kadang anda  akan berasa sakit di bahagian tengah perut sehingga ke bahagian ari-ari.

Sekiranya sudah mengalami kontraksi,cuba perhatikan dan catatkan jarak masa di antaranya.Kontraksi sebenar berlaku secara  teratur  pada jarak masa yang konsisten.

Jika kontraksi yang dialami berlaku setipa lima minit dan perut mengeras dalam masa 20 hingga 45 saat setipa kali, secara teratur dan semakin kerap,segera bergegas ke hospital pilihan agar anda boleh mendapatkan pemantauan daripada doktor yang memeriksa kehamilan.Perlu diingatkan bahawa braxton Hicks tidak sama dengan kontraksi sebenar. Ia kurang menyakitkan, tidak teratur dan lama-kelamaan akan hilang sendiri.

3.Bloody show-

Terdapat segelintir wanita yang mengalami tanda berupa lendir pekat bercampur darah yang keluar daripada faraj.Lendir ini merupakan pluk mukus seperti gam lekang yang keluar dari laluan pintu rahim apabila serviks mula menipis.Perlu diketahui, apabila lendir ini keluar, ia bererti bayi sudah bersedia untuk bergerak ke saluran peranakan.

Lendir yang terhasil dapat menghalang sebarang kemasukan benda asing ke dalam serviks.Lendir yang sama juga menghalang kuman yang mungkin ada daripada mengenai bayi.Jika anda mengalami tanda sebegini, anda tidak perlu tergesa-gesa untuk ke hospital.  Hal ini kerana tanda seperti ini mengambil masa tertentu sebelum anda melalui proses kelahiran.Ia boleh berlaku beberapa jam atau beberapa hari sebelum bersalin.


4.Pecah Ketuban-

Kebiasaannya keadaan ini berlaku apabila ada lelehan air yang keluar daripada faraj dalam jumlah yang banyak.Air yang keluar itu seharusnya jernih dan tidak berwarna.Sebaliknya jika air itu berwarna hijau, itu menandakan bayi sudah pun membuang air besar ketika masih  berada dalam kandungan.

Ramai wanita hamil  yang keliru tentang perbezaan air ketuban dan air kencing.Untuk pengetahuan,air ketuban keluar tanpa anda mengalami rasa ingin membuang air kecil.Air ini berwarna jernih dan tidak berbau. Tidak seperti air kencing yang berwarna kuning dan berbau hancing.

Apabila mengalami tanda seperti ini, sebaik-baiknya anda perlu segera berangkat ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.Jika dibiarkan terlalu lama, ia boleh menyebabkan jangkitan kuman. Sementara itu, menurut kajian kebanyakan wanita tidak pecah ketuban sehinggalah di saat-saat akhir proses bersalin.Apa yang berlaku ialah doktor akan memecahkan ketuban anda untuk mempercepatkan proses bersalin.

5.Serviks terbuka-

Sebaik sahaja kontraksi berlaku,pangkal rahim anda akan menjadi lebih lembut dan lebih nipis.Walau bagaimanapun,hanya doktor yang berupaya mengetahui perubahan serviks semasa pemeriksaan faraj dilakukan.Pembukaan di bahagian pangkal rahim dapat dikesan dengan skala 1sm hingga 10sm.


6.Perut memulas-

Disebabkan bayi sudah mula bergerak ke saluran peranakan,ia akan memberi tekanan kepada saluran yang dikhususkan untuk membuang air besar. Sesetengah wanita akan mengalami keadaan di mana kerap ke tandas kerana terasa ingin membuang air besar.Anda dinasihatkan agar berhati-hati dan prihatin dengan tanda seperti ini kerana dikhuatiri timbul kejadian tidak diingini seperti bersalin di dalam tanda umpamanya.

7.perut "turun"-

Perut anda akan kelihatan membuncit di bahagian bawah,manakala bahagian atas terasa ringan atau kosong.Keadaan ini menandakan bayi sudah mula turun ke bawah dan memasuki saluran peranakan. Hal ini biasanya berlaku di sekitar dua minggu sebelum kelahiran.


8.Kerap membuang air kecil-

Apabila bayi sudah bergerak ke bawah,sudah pasti ia akan memberi tekanan pada pundi kencing. Atas sebab itulah,anda akan mula kerap berasa hendak membuang air kecil.